Wednesday, November 19, 2014

BAGINDA MUCHTAR @ BBM: "Aku" (Dalam Sajak) D I A yang ku cari - page 189


Dia Yang Kucari

Aku bukan mencari syurga
Dan tidak pula neraka
Yang aku cari ialah “DIA”
Yang mengadakan syurga dan neraka

Untuk itu
Aku harus tahu
Diriku lebih dahulu
Kerana Rahsia-Nya terletak di situ

Aku mengadakan penelitian
Mempelajari keadaan badan
Perjalananku ialah mengadakan pemecahan
Pemecahan menghasilkan pemisahan

Aku telah dapat memisahkannya
Yang satu telah menjadi dua
Yang nyata dan yang tidak nyata
Yang tidak nyata berada di dalamnya

Yang tidak nyata berada di badan
Ini dapat kukatakan
Kerana aku dapat merasakan
Setelahnya aku dapat memisahkan

Itulah diri sendiri
Perkembangan jadi rohani
Berdampingan dengan jasmani
Yang selalu ikut ke mana aku pergi

Mengenal diri mengenal Tuhan
Rahsia-Nya ada di dalam
Padanya aku temui jalan
Jalan yang kulalui ibarat titian

Titian laksana sehelai rambut
Kalau diizinkan aku menyebut
Sebenarnya aku takut
Di dengar orang lain nanti terkejut

Jalannya jalan sinar
Dari badan diriku dia memancar
Padanya aku belajar
Memahami diri yang sebenar

Aku pelajari diri sendiri
Dan banyaklah sudah rahsianya aku ketahui
Jalannya berisi
Isinya-Allah memberi

Setelah aku dapat mengenal diri sendiri
Dengan menurutkan jalannya yang berisi
Maka banyaklah sudah yang kualami
Sebagai pelajaran bagiku sendiri

Aku berjalan pada jalannya
Dan aku berjalan bersertanya
Menurut jalan yang telah tersedia
Bagi kami berdua

Dan meningkatlah keinginanku
Hendak mengenal ‘A’-ku
Untuk menentukan siapa Aku
Kerana dia sangat perlu bagiku

Jalannya telah kuketemui
Yang menyebabnya Aku berdiri sendiri
Jalannya yang kuturuti
Dengan tujuan mengenal Aku sejati

Aku yang ada sebenarnya tidak ada
Yang mengadakan diriku yang tiada
Yang menjadikan aku seorang hamba
Hamba yang keluarnya sebagai manusia

Ada – tidak ada
Yang tiada antaranya
Di tiada letaknya
Kerana Aku berada di baliknya

“Roh-Ku.” Kata Tuhan
Di waktu meniupkan ke dalam badan
Bagiku ‘Rohullah’ aku namakan
Kerana Dia yang mendatangkan

Maka aku temui Dia yang sebenarnya
Setelah melalui Jalan-Nya
Dengan berjalan pada Jalan-Nya
Yang terkandung dalam Rahsia-Nya

Rahsia-Nya telah menjadi rahsiaku
Aku menemui Dia melalui badan diriku
‘Dia’-lah yang sebenarnya aku
Dengan-Nya aku menemui-Nya – Dia Tuhanku

.

No comments:

Post a Comment