Wednesday, November 19, 2014

BAPAK BAGINDA MUCHTAR @ BBM: Ada permulaan dan ada kesudahan - page 56




       Ada permulaan dan ada kesudahan. 

   Titik kehidupan kita berjalan semenjak kita di dalam perut ibu kita dan tempatnya di Rahim ibu. Dan setelah kita dilahirkan, maka kita menjalankan sendiri kehidupan kita di luar. Kita sendiri yang memilih jalan hidup dan membawakan kehidupan kita. Dan kebanyakan salah pilih jalan itu sebabnya makanya badan menderita, melarat, sengsara. Dan salah pilih itulah membawa masyarakat dan dunia sampai jadi begini. 


     Salah pilih, salah jalan, tidak terpilih pada jalan yang sebenarnya. Di satu saat, tapi pasti, perjalanan kita itu akan sampai di batasnya. Tidak boleh tawar-menawar, tak ada tolak ansur.


    Kalau tadinya pada titik permulaan, kehidupan ku berjalan dengan sendirinya dan setelah terlahir kita sendiri yang menjalankan kehidupan kita di luar, maka setelah sampai di batas, hidup kita dibawa berjalan untuk dikembalikan ke tempat asalnya, iaitu Allah. 


     Dan tinggallah segala yang dikasihi; badan sendiri, anak yang disayangi, sanak saudara, isteri yang dicintai, handai taulan, harta benda, yang mana kesemuanya itu tak dapat menolong kita, mempertahankan hak hidup kita, kerana yang punya datang menjemput.



      Telah kita ketahui dalam kehidupan kita, kita menempuh tiga jalan:

      Pertama : berjalan dengan sendirinya.
      Kedua    : menjalankan kehidupan sendiri.
      Ketiga    : dibawa berjalan.



Perjalanan yang pertama: Iaitu sewaktu di dalam kandungan berjalan dengan ilmu Tuhan, itu sebabnya kita tak merasa susah.


Perjalanan Kedua: Iaitu setelah kita lahir, kita harus menjalankan sendiri kehidupan kita. Salah jalan mengakibatkan penderitaan.


Perjalanan Ketiga: Iaitu setelah perjalanan sampai di batas, kita dibawa berjalan untuk kembali ke asal.


       Dari tiga macam perjalanan tersebut di atas, perjalanan yang pertamalah yang baik iaitu berjalan dengan sendirinya atau berjalan dengan ilmu Tuhan. 

      Setelah kita lahir, adakah ilmu Tuhan itu pada kita? Ada, padanyalah terletak Rahsia kehidupan kita. 


      Dia menghidupkan kita di dalam, mealiri dan meisi jalan kehidupan kita dan terbatas pada kulit dan bulu kita. Pembawaannya yang berjalan dengan sendirinya itu bagi kita tetap ada. Dia telah ada semenjak kita diadakan. Dan keadaan alam sekeliling kita yang menyebabkan kita lupa atau sampai melupakannya.


   Kehidupan yang kita warisi setelah kita dilahirkan terlampau banyak dibawa melihat ke luar dan amat sedikit sekali diberitahu tentang keadaan kita di dalam. Kita dididik, diasuh, diajar mengenai keadaan alam di luar kita, kebutuhan hidup kita di luar, kehidupan kita sekarang dan kehidupan kita nanti.


  Kita disuruh mencari, menuntut ilmu biar sampai ke negeri China sekalipun. Dititikberatkan kehidupan kita kepada kehidupan lahir, dan amat sedikit kita diberitahu mengenai kedudukan yang tak nampak, yang ghaib.


     Diberitahu kita akan adanya Yang Ghaib, yaitu Allah, Maha Besar lagi Maha Kuasa. Dan amat sedikit kita mengetahui jalan kepadanya, kerana tidak ada yang dapat menunjukkan jalan yang sebenarnya, kerana amat sedikit pula orang yang dapat petunjuk akan jalan itu, yaitu jalan yang sebenarnya jalan.



       Kita dididik terlampau jauh melihat keluar sampai lupa akan diri sendiri. Dari itu makanya banyak orang kesasar hidup. Jalan hidup kita yang sebenarnya ialah lurus iaitu ke atas dan ke bawah. Ke atas untuk kembali kepada Tuhan ke bawah ialah untuk dikembalikan ke tanah. Akan tetapi caranya kita menjalankan kehidupan ialah bercabang iaitu ke kiri dan ke kanan, ke muka dan ke belakang.



       Ke belakang bererti mundur. Berjalan surut itu tidak mungkin kerana telah dilewati. Kita melihat ke belakang untuk mempelajari jalan yang telah kita bawakan dan lalui untuk diperbaiki pada jalan yang akan datang. Kita melihat ke muka untuk maju terus  kalau-kalau ada halang rintangan. Untuk itu makanya kita berbelok ke kiri, sudah itu ke kanan, guna kembali ke jalan lurus, berduri, rata, menurun, mendaki dan lain sebagainya.


      Banyak sudah jalan yang dilalui, telah banyak pula keluk yang dijalani, ke kiri dan ke kanan, banyak sudah lurah yang dituruni, bukit yang didaki.


     Jauh sudah kita berjalan dan telah lama pula rasanya kita berjalan, apa yang telah diperdapat dan apa yang dicari? Suka duka telah dilalui. Bermacam teori telah dipraktikkan yang tak pernah dibuat telah dibuat, yang tak boleh telah dibolehkan. Yang haram telah dihalalkan. Mau harta telah punya tetapi mau lagi, mahu isteri telah dapat, tetapi mau lagi, mau mobil telah punya tetapi mahu lagi.


      Kenapa begitu? Kerana kepuasan belum diperdapat, oleh kerana jalan untuk mendapatnya tidak pada jalannya yang benar, melainkan dengan jalan menurutkan hawa nafsu.


  Dan dengan tak disadari jalan lurus yang ditempuh untuk mendapat bahagia, telah berjalan dengan sendirinya dan telah hampir sampai di batasnya.


    Tahu-tahu tenaga habis, daya tidak ada, kekuasaan Tuhan berlaku, api mati, pelita tak berminyak dan sekali ranggut sahaja, tangan ghaib menangkap kita dan maut datang. Kita sudah tak ada lagi. Kita sudah jauh di dasar, sesat lagi disesatkan, kerana berjalan tidak pada jalannya, mau sampai kepangkalan tidak bisa lagi, kerana semuanya keadaan sudah gelap pada kita.


    Kita telah menempuh jalan kosong yang dimurkai lagi menyesatkan, iaitu hawa nafsu yang berisikan syaitan iblis.

      Telah terpedaya mereka yang dapat diperdayainya, dan yang sedikit yang ditakutinya tinggal tetap sedikit.


      Itu sinar tadinya bercahaya menerangi alam sendiri serta sekitarnya telah pudar dan hilang diliputi oleh kegelapan kabut yang tebal yang mana keluhan dan rintihan menjadi loyang dalam nilainya.


       Bukan tidak ada jalan pada kita, jalan yang berisi (dengan sendirinya) yang tidak dimurkai dan tidak pula sesat.


   Jalan itu ada padamu, pokok pangkalnya di Dirimu. Untuk mendapat petunjuk hendaknya jangan mendoa sahaja, berdoalah, memohonlah, di samping itu pergunakan otakmu, kecerdasanmu.

.

No comments:

Post a Comment