Wednesday, November 19, 2014

BAPAK BAGINDA MUCHTAR@ BBM: Aku adalah pelita di dalam rumahku sendiri - page 174


Akan tetapi, diri itu bukanlah kuda, kerana peningkatan pengertian kita padanya akan mengumpamakannya pula laksana burung kerana dia bersayap kiri dan kanan. Burung yang bertuah, berhikmah dan mendatangkan berkat. Baginya air hampir makanan murah. Sungguhpun begitu, aku bukan pula burung, melainkan aku adalah "pelita" dalam rumahku sendiri. Pelita itu di dalam gelas, gelas itu bercahaya-cahaya laksana bintang berkilau-kilauan di langit (Surat an-Nur ayat 35). 



Maka adalah aku "pelita", pelita yang bercahaya-cahaya. Cahaya yang menimbulkan diriku; diri yang berdiri dengan sendirinya di dalam badanku


Aku adalah "hidup" dan badanku sebenarnya mati, dan diriku adalah yang tiada hidup dan tidak pula mati bagi orang. Diriku akan hidup kalau orang berpendirian ke badannya. Selagi "aku" masih berada dalam rumahku dan berdiam di tempatku, hidup matinya diriku bergantung kepada penilaian dan pendirian orang. Kalau orang berpendirian pada badannya, maka adalah diri itu baginya mati dengan pengertian diri itu tak dapat berbuat apa-apa  terhadapnya dan adalah diri itu peribadinya.


Bagi orang yang berpendirian seperti itu, maka adalah peribadinya itu ibarat lembaran kertas yang tadinya putih bersih, bertuliskan tulisan amal perbuatannya yang buruk dan yang baik. Untuk diketahuinya, maka adalah peribadinya itu putih bersih dasarnya dan kalau kejadian kotor, maka adalah orangnya sendiri yang mengotorinya dengan tindak-laku perbuatannya yang tidak baik. 



Bagi "aku" sendiri, adalah diriku itu gambar lengkap dari badanku sendiri. Aku menganggap orang yang berpendirian di badannya. Orang mati atau orang yang bakal mati dan orang yang berpendirian, orang hidup yang tidak akan mati-mati. Kerana adalah "dia" itu terdiri dari cahaya dan cahaya melulu dan akan kembali atau diterima kembali serta bergabung dengan Cahaya Yang Maha Besar. 


Dasarnya Cahaya, Kalamnya cahaya, dia berbuat dan bertindak dengan cahaya, pancarannya bercahaya kerana memang dasarnya dari Cahaya. Semakin banyak dia berbuat dan berlaku [melakukan], akan semakin bercahayalah dia. Dari cahaya ke cahaya. Kalamnya orang yang berpendirian di badannya, , badannya sendiri, dan kalam orang yang berdiri di dirinya ialah dirinya sendiri. Orang yang berdiri di dirinya harus berhubung dengan dunia kerana untuk keperluan badannya yang kasar. 


"Aku" adalah orangnya yang mendatangkan Cahaya di dalam badanku sendiri. Aku si Terang dan badanku si Gelap dan Cahayaku menimbulkan diriku. Orang yang berpendirian pada badannya harus mencukupkan kejadiannya dengan ‘"aku" nya. Orang yang telah tahu diakunya harus pula didirinya kerana aku dan diri itu sejalan. Aku berada di dalam diri dan diri berada di dalam badan. Orang yang berpendirian pada badannya untuk dapat menemui "aku" nya harus menemui dirinya terlebih dahulu. Orang yang berpendirian pada badan (kenyataan) dalam pemecahanku ini, aku namakan orang luar harus memikirkan bagaimana dia akan dapat menemui dirinya sendiri.


Untuk ini, orang harus menunjukkan gerak jalan pemikirannya kepada yang ditujunya sampai orang dapat merasakan akan keadaannya. Dapat merasakan kami katakan, kerana keadaannya diri yang berada di dalam badan itu tidak nyata. Rasa yang terasa itu harus mendapat perhatian khusus dan dipelajari dengan saksama, sampai orang dapat menyatakan dengan perasaan pula akan keadaannya.


Dan selanjutnya, setelah orang dapat memahami akan hakikat diri yang sebenarnya, maka orang harus merubah cara berfikirnya terhadap diri itu. Kalau tadinya orang mempelajarinya, maka dengan telah dapat menemuinya, orang harus belajar padanya. 


.

No comments:

Post a Comment