Wednesday, November 19, 2014

BAPAK BAGINDA MUCHTAR@ BBM: Aku - page 202


AKU

Aku duduk di tempatku. Tempat kedudukanku ialah terahsia bagi orang yang belum tahu, kerana banyak orang yang belum mengenal Aku. Jangan Aku, Aku-nya sendiri belum dikenalnya, betapa pula dia akan dapat mengenal Aku yang sebenarnya? Mungkinkah Aku-ku dan Aku-nya, sama? Terserah kepada orangnya yang akan menjawab. Akan tetapi Aku akan mengatakan, tidak, kerana dia belum pernah mahu mengenal Aku. Apa yang dikenalnya selama ini hanya dunia luar, bukan dunia dalam. Maksudku, dia belum dapat mengenal akan dirinya sendiri lebih mendalam. 


Dia bergerak berdasarkan kenyataan, sedangkan Aku bergerak berdasarkan di balik kenyataanku dan dari balik kenyataanlah titik tolakku. Aku orang dalam, dia orang luar. Nyata benar perbezaannya dalam pendirian. Dia menganggap dirinya yang nyata, sedangkan aku menganggap diriku yang tidak nyata. Yang nyata bagiku ialah badanku dan bukan itulah yang Aku. 


Aku berada di tempatku. Tempatku terahsia bagi setiap orang. Amat beruntunglah setiap orang yang dapat menemuiku yang terahsia itu. Dengan dapatnya menemuiku di tempatku, maka banyaklah sesuatu yang dapat diketahui.
Berjalan untuk menemui Aku adalah suatu perjalanan dari ada ke tidak ada, melalui yang tiada. Di tiadalah letak rahsianya Aku, kerana Aku beradanya di tidak ada. Ertinya tidak ada pada kenyataan, ada dalam sebutan.


Akan tetapi mustahil Aku tidak ada, kerana kalau Aku tidak ada, tidaklah ada erti kehidupan bagi tiap-tiap diri. Dari itu makanya dikatakan, Aku ada dalam sebutan, tak ada pada kenyataan. Dan itu maka letaknya rahsia diriku, diri yang berdiri dengan sendirinya. Diri yang negatif bagi badan yang positif.


Maka untuk dapat mengenal Aku yang tak ada pada kenyataan, seseorang harus mengadakan suatu pemecahan yang menghasilkan suatu pemisahan antara yang satu dengan yang lain, antara diri yang negatif dengan badan yang positif atau antara yang zahir dengan yang batin, antara rohani dan jasmani, yang mana hasil dari pemecahan itu betul-betul seseorang dapat merasakannya sehingga apa yang dikatakan negatif tadinya menjadi positif dan apa yang positif tadinya dijadikan negatif.


Dengan berpegang kepada yang tadinya dianggap negatif dan dengan pemecahan seperti tersebut di atas telah menjadi positif, maka terbukalah jalan kehidupan baru bagi orang yang telah dapat menemuinya; suatu jalan yang mengandung daya-daya hidup lagi berisi. Dan dengan penelitian yang saksama serta dengan kemahuan yang teguh, terbukalah jalan untuk dapat mengenalnya lebih mendalam. Jalan yang mengandung daya hidup lagi berisi itu yang dapat dirasakan adalah aliran dari diri di dalam, iaitu aliran dari rohani sendiri yang tadinya selagi masih dalam keadaan negatif pada tangkapan kita.


Ruang geraknya terbatas pada bulu dan kulit kita dan pintu baginya untuk keluar, tertutup. Sekarang, setelah dia menjadi positif, pintu baginya dengan sendirinya telah terbuka, maka dia telah bebas bergerak sampai keluar dari alamnya sendiri, tetapi tak lepas dari induk pangkalan.


Di mana beradanya aku? Aku berada di suatu tempat yang kalau di katakan jauhnya, tidak jauh, dekat pun tidak. Kalau Nabi Musa mencari seorang hamba Allah dengan mendapat petunjuk dari Tuhan tempatnya di pertemuan permukaan dua lautan, maka aku dapat mengatakan bahawa adalah tempatku di pertemuan kiri dan kanan. Ini dapat kukatakan setelah aku mendapat kebebasan, iaitu bebas bergerak. Dan semenjak kebebasan kuperdapat, maka terbukalah jalan bagiku untuk lebih luas bergerak, kerana ruang gerakku tak terbatas lagi.



Siapa yang membebaskan aku itu Aku sendiri pun tak tahu siapa yang membebaskan Aku. Setahuku Aku telah bebas dengan sendirinya. Ini telah lama terjadi, hanya aku yang tak mengerti. Pengalaman-pengalaman yang bertahun-tahun dalam perjalanan pengembaraanku, lambat laun aku dengan beransur mulai mengerti, mengerti pada keakuanku. Kenyataannya jalan telah terbuka bagiku keluar dari alamku sendiri. Kemanusiaanku yang lambat dapat mengerti padanya. Setelah kemanusiaanku dapat mengenalnya, maka terasalah olehku akan kebodohan selama ini.


 Pengalamanku dalam praktik, hasilnya banyak mengagumkan orang yang melihatnya, apalagi bagi orang-orang kebatinan yang melihat caraku tersendiri. Dan anehnya, aku sendiripun sangat hairan kebolehanku itu. Pada perasaanku, segala sesuatu itu bukan aku yang berbuat, melainkan aku hanya menurutkan saja. Akan tetapi pada pandangan orang lain, segala sesuatu itu akulah yang berbuat dan menganggap ilmuku tinggi dan dalam. Aku bukan bangga dan sombong oleh penilaian orang-orang itu, melainkan aku sendiri pun asyik dan selalu memikirkan akan apa yang telah ada padaku itu.



Ya, sebenarnya apa yang telah ada padaku itu??? Setahuku ialah, tiap-tiap melakukan sesuatu, aku selalu besertanya. Dia yang berbuat, aku hanya menurutkan, walaupun hasilnya badan diriku yang menerimanya. Apa yang kulakukan dengannya tak ubahnya seperti perjalanan Nabi Musa menurutkan Nabi Khidir, yang mana Nabi Khidir yang berbuat dan Nabi Musa hanya menurutkan untuk mendapat pelajaran ilmu pengetahuan daripadanya. Syaratnya ialah berjalan besertanya harus SABAR.


Dalam pada itu belajar padanya. Menarik dan mempelajari dari perjalananku yang sudah-sudah besertanya, dengan renungan dan menungan, dengan penelitian yang lebih mendalam, akhirnya dapatlah aku merasakan dan mengetahui, bahawa adalah ‘dia’ itu atau ‘nya’ yang aku katakan seperti tersebut di atas ialah diriku sendiri, iaitu diri yang dia dengan rahsianya sendiri selama ini tersembunyi bagiku.


Terasa benar olehku akan kebodohanku selama ini kerana
sebagai seorang manusia, pandangan dan tangkapanku selama ini selalu tertuju kepada yang berada di luar dari badan diriku sendiri, sedangkan dia tanpa kusedari telah bangkit dan timbul berserta aku. Ini dapat kukatakan, setelahnya aku dapat merasakannya secara positif dan semenjak itu terbukalah jalan bagiku untuk dapat mengenalnya lebih mendalam. Dan banyaklah sudah rahsiarahsianya yang telah aku ketahui untuk dapat dimanfaatkan bagi badan diriku sendiri, bagi masyarakat dan juga bagi dunia ilmu pengetahuan.


Dia telah memancar dari dalam batang-tubuhku sendiri menurut saluran-saluran tertentu yang aku sendiri telah dapat merasakannya. Dia berasal dari zat hidup dan bukan dari benda yang mati. Dan itulah pula dia, Aku yang sebenarnya Aku. Dia dengan rahsianya, tersembunyi letaknya di dalam batang-tubuhku. Dan semenjak aku telah dapat menemui diriku sendiri dengan segala rahsianya yang tersembunyi itu, semenjak itu pula dia yang aku kemukakan berserta rahsianya yang telah ada di tanganku.


Maka adalah "Aku" orangnya yang akan kembali ke Hadirat-
Nya dan bukanlah yang akan dikembalikan ke asalnya iaitu ke tanah. Dan rahsia-Nya telah menjadi rahsiaku. 


DEMIKIANLAH ADANYA DAN DEMIKIANLAH PULA KE-ADA-AN-KU


Ke-aku-an-ku dan pengakuan-ku

Ke-aku-an-ku tidak sama dengan aku-nya orang lain, apalagi
orang kebanyakan. Dan tidak pula seperti orang yang berakuan sebagai orang kemasukan atau kesurupan, yang mana tak sedar bilamana akunya tiba.


Aku-ku tetap "aku, iaitu "aku" dari Yang Maha Pengasih.. Ini
dapat kuketahui, setelah aku dapat mengenal dan menemui diriku sendiri dengan rahsianya yang tersendiri pula, sehingga dapat pula aku mengenal yang mana "aku" yang sebenarnya. Dan adalah perjalananku semenjak aku dapat menemuinya ialah: "mengadakan Pengakuan untuk mendapat Pengakuan".

Pengakuanku ialah: “Tiada Tuhan yang lain, melainkan Allah
dan MUHAMMAD Rasul Allah.


     
                Demikianlah adanya.
                        “Ashadu an-laa Illaaha ill-Allah; waAshadu anna Muhammad ar-Rasulullah.”


Aku
BAGINDO MUCHTAR
(Si Sepuluh)

No comments:

Post a Comment