Wednesday, November 19, 2014

BAPAK BAGINDA MUCHTAR@ BBM: Aku tidak di kiri dan tidak pula di kanan - page 141


Aku sendiri tidak di kiri dan tidak pula di kanan. Tempatku di pertemuan kiri dan kanan, tetapi jalannya kehidupanku berkiri dan berkanan kerana dunia yang kudiami berlurah, berbukit, bergunung, berbatu, berduri, berkeluk, berliku-liku, ada siang, ada malam, ada pagi, ada petang, ada syaitan dan iblis.


Aku adalah laksana titisan air dari gunung yang menuju ke laut lepas, lautan yang tak berpantai iaitu lautan kehidupan. Aku akan mengalir dan mengalir terus, yang mana untuk dapat mencapai tujuan itu aku harus berbelok ke kiri dan ke kanan, guna menghindarkan diri dari penghalang-penghalang dan menjadi satu sungai yang besar sampai di muara.


Aku adalah seumpama seorang pemburu dengan kudanya dengan senjatanya di tangan, yang mana adalah kuda itu badan diriku dan senjata adalah ilmuku. 

Aku adalah induk yang berada di dalam diriku, dan adalah diri itu terdiri dari kumpulan titik-titik terang lagi cemerlang, menerangi isi batang tubuhku laksana dikelilingi oleh binatang-binatang yang berkeliaran.


Aku yang berkedudukan di pertemuan kiri dan kanan dan berdiri sendiri tidak di kiri dan tidak pula di kanan, seperti Alif. Alif berasal dari satu titik. Titik bergerak dan berkembang, sampai tegak berdiri lurus.


Oleh kerana aku datang dari SANA dan aku akan kembali ke SANA, maka terhadap-Nya aku melakukan perjalanan yang aku namai "Perjalanan balik batang."


Dan kehidupan yang akan ku jalankan di dunia ini ialah perjalanan seorang musafir yang sentiasa berkelana oleh kerana adalah aku seorang pengembara.


.

No comments:

Post a Comment