Wednesday, November 19, 2014

BAPAK BAGINDA MUCHTAR@ BBM: Hidupku teratur, kerana ada yang mengatur - page 167

Hidupku teratur oleh kerana ada yang mengatur. Yang mengatur sentiasa berada di belakangku. Dia Si Pengembala. Aku anak gembala. Dia Si Musafir. Aku si pengembara. Dia bukanlah aku, akan tetapi aku adalah Dia kerana Dia yang menimbulkan aku. Dia cermin, aku adalah bayangan dari badanku sendiri. Bayangan itu ialah diriku. Timbulnya dari kaca dan bentuknya, bentuk orang yang berkata (hasil dari melihat diri di luar). Bagaimana bentuk diri di dalam? Aku yang berada di dalam, mengemukakan diriku untuk dapat dikenal orang. Banyak orang tak mahu mengenal dirinya sendiri, mempelajari apa yang ada di dirinya. Bagaimana orang akan dapat mengenal ‘A’-ku-nya, sedangkan dia sendiri belum dapat mengenal dirinya? Rahsia diri ialah rahsiaku. Orang yang hanya hidup dengan dirinya, pembawaannya seperti orang yang tak berakal. Orang yang tak tahu apa yang akan diperbuatnya, kelihatannya seperti orang kehilangan akal. Orang berbuat dan berlaku mengikut kehendaknya sahaja dengan tidak menghiraukan orang lain. Kelihatannya seperti orang nakal. Pembawaan hidup yang sebaik-baiknya bagi seorang ialah tahu di diri dan berakal. Pengetahuan yang mendalam tentang keadaan diri sendiri dapat mendatangkan perubahan pada jalannya kehidupan orang sehari-hari, apalagi kalau dapat mempergunakan apa yang ada di diri itu. Sebatang pohon yang berbuah ke dalam, bukan di atas dan bukan pula di bawah, buahnya teruntuk bagi orang yang dapat mengetahui dan menemuinya. Buah yang berhikmat dan membawa berkat; mendatangkan manfaat bagi badan diri sendiri dan berfaedah untuk orang banyak. Bisa diangkat jadi senjata bagi badan dan amat berguna sekali untuk menolong sesama manusia. Diri yang dijadikan ilmu pengetahuan berlainan dengan diri yang terkandung di badan. Diri yang terkandung di dalam badan hanya aktif di dalam sahaja. Diri yang dijadikan ilmu pengetahuan, aktif luar dan dalam. Aku tak dapat berbuat apa-apa, tetapi orang boleh mencari Aku. Aku adalah seumpama cermin kaca dan untuk orang, Aku kemukakan diriku. Maka kalau orang mahu mencari Aku, kenalilah diriku lebih dahulu. Adalah diriku sebagai perantara untuk memperkenalkan Aku pada orang banyak. Dasarku dan dasar orang, lain. Orang dari tanah, Aku dari Sana. Orang akan dihantar kembali ke tanah, Aku akan dijemput untuk kembali ke Hadirat- Nya. Aku tak lekang oleh panas, tak lapuk oleh hujan. Aku ada tetapi tiada. Keadaanku dalam tiada; ada dalam sebutan tak ada dalam kenyataan. Yang nyata, badanku. Yang tidak nyata, diriku. Yang tidak ada, Aku. Akan tetapi diriku timbul lantaran keadaanku. Kalau Aku tak ada maka yang nyata padaku tak ada erti dan diriku akan pergi. Kepergianku bererti kematian bagi yang tinggal. Itulah Aku, si musafir yang mengembara, sentiasa mengembara dan mengembara; mengembara di lautan kehidupan, suatu samudera hidup yang tak bertepi. Tadinya Aku, setahuku adalah setitis air
dari gunung, mengalir dan mengalir terus. Dalam perjalanan, berkembang dan berkembang terus sampai menjadi sebuah sungai menuju muara untuk terus terjun ke lautan hidup yang maha luas. Aku pun juga seorang penggembala. Sewaktu-waktu diiringi pula ke kandang untuk pulang kembali ke tempatnya. Adakah pernah orang memikirkan akan si pengembala dengan gembalanya dan si musafir yang mengembara? Apa ada orang lain ada memikirkannya itu aku tak tahu, tetapi Aku dapat mengatakan bahawa adalah si pengembala dengan anak gembalanya dan si musafir yang mengembara, Aku-lah orangnya. Apa ada orang lain yang berpendirian seperti Aku ini, tak tahulah Aku Aku si musafir yang mengembara. Dalam perjalanan pengembaraanku sentiasa memberi dan mengisi, memberi seteguk air bagi orang kehausan, menunjukkan jalan bagi orang yang tersesat dan dalam pada itu menghalau gembalaanku ke padang rumput yang hijau untuk mendapat makanan yang lazat dan sewaktu-waktu menyeret kembali gembalaanku ke kandang sendiri. Dan seterusnya begitulah tugas yang kulakukan sebagai seorang musafir yang sentiasa mengembara, merangkap jadi seorang penggembala dengan gembalaanku. Aku tidak akan kehabisan tenaga dan daya dalam pengembaraanku kerana bagiku makanan mendatang ibarat pepatah, ‘air hampir, makanan murah.’ Dan begitulah aku yang dengan caranya aku mengadakan pemecahan untuk mengenal diri, pemecahan yang menghasilkan pemisahan, penggalian-penggalianku yang terus-menerus untuk mendapatkan rahsia diri sampai dapat mengenal Aku yang sebenarnya, sehingga dapat Aku mengatakan, adalah Aku seorang musafir yang sentiasa dalam pengembaraan merangkap menjadi seorang pengembala yang sentiasa hidup dengan gembalaannya. Rahsia diri ialah rahsiaku dan aku, aku sentiasa menggali terus rahsia yang tak habis-habisnya iaitu rahsia Yang Maha Besar. Dan di hadapanku terbentang luas suatu rahsia di balik rahsia yang terahsia. Yang aku perdapat hanya baru rahsia yang sedikit iaitu rahsia yang ada di dadaku: “Mereka bertanya kepada engkau tentang Roh. Katakanlah, Roh itu sebagian dari urusan Tuhanku, kamu tiada diberi pengetahuan, melainkan sedikit.” (Al-Quran Surat al-Israak Ayat 85)



No comments:

Post a Comment