Wednesday, November 19, 2014

BAPAK BAGINDA MUCHTAR@ BBM: Jalan - page 121

Pada ‘badan’ ada dua jalan iaitu satu kiri dan satu kanan. Pada ‘diri’ ada dua pula jalan iaitu satu buruk dan satu lagi baik. Dan pada ‘nya’ (‘A’-ku) hanya ada satu jalan iaitu pada Jalan Allah.


Aku ketahui sudah padaku ada tiga jalan dan aku akan memilih jalan yang sebaik-baiknya bagiku (badan diriku).



Aku menpunyai akal untuk menimbang, mempunyai otak fikiran, di dalamnya terkandung kemahuan, kesedaran dan ingatan. 



Pada hematku, jalan yang sebaik-baiknya yang akan kupakai ialah jalan tengah iaitu jalan diri yang berisi; isi yang datang dari ‘A’-ku dan ‘A’-ku yang datang dari Allah. Aku dengan diriku dapat menghubungi alam yang di luar alamku. Dan akan kupakai terus jalan itu untuk kelancaran kehidupanku, dan terhadap Tuhan Yang Maha Esa akan kukemukakan ‘A’-ku dengan mengikut-sertakan badan dan diriku. 




Dan aku telah dapat mengambil manfaat dari jalannya diriku. Ku katakan, kalau diri telah ditemui melalui pintu-pintu tertentu, maka turutkanlah jalannya. Jangan dicampur-adukkan dengan jalannya alam fikiran kita. Di saat itu, segala apa yang ada pada kita menjadi alat oleh diri kita kerana segala sesuatunya telah menjadi kepunyaannya. Cara bekerjanya berlainan dengan cara bekerja kalau kita berpendirian di badan. Caranya ialah serba automatik (bergerak dengan sendirinya) pula. Apa yang akan dilakukan dan apa yang akan diperbuat, telah didengar dan diketahui oleh ‘A’-ku dan melalui diri, diri melakukannya untuk mencapai tujuan.



Melalui pintu-pintu tertentu, dapat kita mengenal diri kita dengan ‘rasa.’ Kita rasakan sampai terasa dan setelah terasa benar, kita cari jalannya untuk dituruti atau dibiarkan dia berbuat. 



Dengan membiasakan membawa diri itu atau menurutkan jalannya diri itu, kita akan bertambah mengenal diri kita dan lambat laun kita akan mengatakan bahawa adalah segala sesuatunya apa yang telah dilakukan diri itu aku yang berbuat. Dan kita akan mengenal aku
yang sebenarnya, dan jawablah pertanyaan, “Hendak ke mana aku dan mahu apa aku?”



Saya akan mengatakan, " Saya mahu ke Sana ". Mau mengadakan "Pengakuan" untuk mendapat Pengakuan, sebagai hambanya oleh Allah, dan sebagai umatnya oleh Muhammad Rasul Allah. Dan berjalanlah aku memberi dan menerima. 



Dan aku akan menggali terus "Rahsia" yang terkandung, diriku, dan aku sangat mengharapkan sentiasa petunjuk untuk mendapatkan itu, untuk aku pergunakan dalam perjalananku, sebab aku masih berasa berkurangan dan masih banyak lagi yang belum kuketahui dan punyai. Bukan untukku seorang, melainkan bersama manfaatnya untuk orang banyak.


.

No comments:

Post a Comment