Wednesday, November 19, 2014

BAPAK BAGINDA MUCHTAR@ BBM: Surah an Nuur Ayat 35 - page 165


Dengan petunjuk Tuhan dalam surah AN-NUR ayat 35 sebagai perumpamaan: 

"Kalau kita memandang dari sebuah lubang dinding rumah, maka kita akan melihat di dalamnya ada pelita. Pelita di dalam gelas. Gelas itu bercahaya-cahaya laksana bintang berkilau kilau di langit dan seterusnya .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  ."

Dengan mata kepala sendiri, dengan perantaraan cahaya kita dapat menyaksikan apa yang ada di dalam rumah itu. Dengan perumpamaan ini, maka telah berubah pandangan dan pengertian kita kepada diri kita sendiri dan aku kita. Bagaimana akal untuk dapat menemui dan mengenal diri yang sebenarnya? Untuk itu kita harus dapat memasuki rumah kita sendiri. Kalau tidak begitu, tak dapat orang mengetahui hakikat dari dirinya sendiri. 

Dapat menemuinya, berarti (bagi orang itu), diri yang tadinya negatif menjadi positif. Dan terbukalah pintu selebar-lebarnya untuk mempelajarinya dan mengorek rahsianya untuk diambil manfaat bagi badan sendiri dan faedahnya bagi orang-orang yang belum menemui dirinya sendiri. 

Melalui pintu-pintu yang telah terbuka, orang akan dapat menemui hakikat diri. Kenyataannya, sesuatu yang tadinya tidak dapat diketahui, sebagai penjelmaannya, nyata dapat ditangkap dengan rasa perasaan yang benar-benar terasa (positif). Dan di rasa itulah terletaknya segala rahsia sesuatunya. Orang yang dapat hidup dengan dirinya yang banyak mengandung rahsia-rahsia itu, akan terahsia pula hidupnya menurut pandangan orang lain. Diri itu tak banyak bicara, melainkan banyak bekerja. Kerjanya terdiri dari bermacam-macam pergerakan yang bagi orang terahsia. Rahsia diri adalah Rahsiaku. 

Sebagai seorang manusia dengan cara pemecahanku ini, maka dapat diketahui bahawa pada kita ada tiga jalan:

• Pertama jalan akal dan fikiran
• Kedua jalan diri dan
• Ketiga jalan aku.

Umumnya orang memakai jalan akal. Jarang orang memakai jalan diri atau mungkin belum ada orang memakainya, apalagi jalan aku. Orang mengatakan hidup berakal mati beriman. Dapatkah orang membawakannya? 


Bagiku yang hidup ialah diri dan yang mati ialah badan. Diri dipertalikan dengan akal yang letaknya di kepala dan badan dengan iman yang letaknya di dada, di diri. 


Dunia kacau oleh kerana manusia memperbuat, berlaku dan berfikir dengan hanya mengemukakan akalnya, maka terjadilah satu sama lain akan mengakali. Ilmu akal selamanya memikirkan keuntungan untuk dirinya sendiri. 

Dengan mengemukakan diri sahaja tidak pula baik, kerana diri itu benar, lurus, lagi jujur. Mudah sahaja diakali oleh yang mengemukakan akalnya. Keadaan atau aku yang dikemukakan menyebabkan orang sering lupa diri, lupa segala-galanya, mendatangkan takbur, sombong dan angkuh. Orang banyak dianggap sebagai sampah sahaja. 


Pembawaan orang yang mengemukakan akal gelisah. Pembawaan orang yang beriman (berarti mengemukakan diri), tenang. Pembawaan hidup yang sebaik-baiknya sebagai seorang manusia ialah pergunakan akal dengan mengemukakan diri dan di balik diri ialah aku si Pengembala. 


Akal pun tak berbicara hanya bekerja. Kemahuan, keinginan dan kehendak badan yang terbitnya dari akal fikiran diturunkan/dihubungkan ke diri, dan diri dengan rahsianya melaksanakannya sampai menjadi kenyataan, bekerjasama dengan akal. 


Diri dapat mengontrol badan. Badan tak dapat mengontrol diri. Kehendak badan banyak, kehendak diri hanya satu, iaitu ketahui dan kenalilah dia. Diri yang telah dapat dikenal, diketahui, mempunyai daya kesanggupan di segala bidang. Luar biasa pekerjaannya bagi orang yang tak mengenalnya, biasa sahaja bagi dia sendiri. 


Sebelum pintu terbuka bagi diri, selama ini dia hanya dapat berbuat untuk badannya, bahagian dalam sahaja, secara aktif. Perkembangannya terbatas (dibatasi oleh bulu dan kulit). Alangkah baiknya setelah pintu terbuka, dia diberi kebebasan bergerak untuk dapat berbuat sebanyak mungkin bagi badannya - luar dan dalam. Dia harus menyayangi badannya. Bukan seperti orang yang mahu menyayangi diri tetapi tidak dapat berbuat apa-apa terhadap dirinya. Sayangnya hanya di mulut sahaja. 


Kelebihan manusia dari haiwan ialah akal. Dengan akal manusia dapat mengetahui akan keadaannya. Dia tahu bahawa padanya ada badan dan diri. 
[nota tambahan: Dengan akal, manusia dapat mengetahui segala sesuatunya yang buruk, yang baik, yang boleh, yang tak boleh dan lain sebagainya].

Pernahkah orang memikirkan apa yang ada di dirinya sendiri? Apa yang ada pada badan? Sudah banyak orang mengetahui dan menyelidiknya. 

Memandang jangan terlampau jauh dan melihat jangan terlampau dekat - Terlampau jauh memandang akan menjauhkan perhatian. Terlampau dekat melihat akan tertumbuk pada badan. 


Tuhan tidak sia-sia menciptakan kita sebagai manusia hidup. Disempurnakannya kejadian kita dengan mengurniakan pada kita ilmuNya. 


Dengan kurniaNya itu, maka jadilah kita menjadi manusia hidup. Yah, memang dia hidup lagi menjaga. Ilmunya bagi kita manusia, Hidup. Dan itulah modal dari Tuhan buat kita untuk hidup. Kenapa orang tidak dengan modal dari Tuhan itu melanjutkan kehidupannya? 


Dia mendatangkan daya-daya kehidupan bagi badanku. Daya-daya itu menimbulkan diriku yang penuh mengandung rahsia itu. Dan di dirilah letaknya Rahsia Hidup yang sebenarnya. Orang yang telah dapat mengenal dan menemui dirinya sendiri dan telah banyak pula dapat mengetahui akan rahsianya akan menjadikan dirinya itu menjadi ilmunya. Dan itulah pula dia Ilmu Ketuhanan yang telah ada pada kita. Dia hidup lagi terjaga. Pada umumnya manusia terlampau percaya pada yang nyata (yang ada). Dia hidup dengan mengemukakan badannya, dengan tidak mengendahkan dirinya sedikit juga. Tidak terfikirkan olehnya keadaan dirinya sendiri. 


Aku dapat mengatakan diri itu terdiri dari titik-titik terang dan tiap-tiap titik sangat berguna dan berarti bagi kelancarannya jalan kehidupan kita manusia. 


Diri itu adalah perumpamaan sebatang pohon yang lebat buahnya. Buahnya tidak ke atas seperti buah mangga, rambutan dan lain-lain dan tidak pula ke bawah seperti ubi kayu, kacang tanah dan lain-lainnya. Buahnya berada di dalam batangnya; dihitung tak terhitung, dimakan tak kunjung habis dan teruntuk untuk orang yang tahu dan yang dapat menemuinya dan dapat pula mempergunakannya. Banyak manfaatnya bagi badan sendiri dan amat berfaedah bagi orang lain. 


Orang hanya pandai berkata, “diriku pandai berbuat.” Perjalanan orang kosong, perjalananku berisi. Diri itu tidak berbicara. Bicaranya hanya gerak. Gerak geri yang menentukan. Orang gelisah resah, diriku tenang tenteram.


.

No comments:

Post a Comment